Sign In
portfolio web templates

Majlis Solat Sunat Hajat, Solat Fardhu Asar Berjemaah dan Membaca Ratib Al-Attas Kelolaan Mkkjr

23/04/2026
https://www.mkkjr.gov.bn/Images1/2026/April/Ratib%20MKKJR/Ratib%20MKKJR%20Apr%202026.jpg

Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah mengadakan Majlis Solat Sunat Hajat dan Solat Fardhu Asar Berjemaah serta bacaan Ratib Al-Attas yang berlangsung di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), Berakas.

Hadir di majlis tersebut ialah ahli-ahli MKKJR, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta kakitangan kementerian pengangkutan dan infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan dibawahnya.

Majlis dimulakan dengan Solat Sunat Hajat dan Solat Fardhu Asar secara berjemaah, diikuti dengan bacaan Ratib Al-Attas yang telah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Asyhraf bin Haji Bujang, Imam Surau LTAB.

Pengajuran majlis ini merupakan antara usaha berterusan MKKJR dalam memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wa ta'ala agar semua pengguna jalan raya sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah, di samping memohon agar Negara Brunei Darussalam terus dikurniakan keselamatan, kesejahteraan dan keberkatan yang berpanjangan.

Dalam kesempatan ini, MKKJR turut menyeru semua pengguna jalan raya untuk meningkatkan tahap kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh semasa berada di jalan raya serta sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas, khususnya had kelajuan yang ditetapkan dan peka terhadap keadaan persekitaran pada setiap masa. Seruan ini adalah selaras dengan tema Kempen Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya iaitu “Watch Your Speed, Watch The Road". 

MKKJR juga telah menekankan pendekatan “Share the Road" yang menggalakkan sikap saling menghormati dalam kalangan semua pengguna jalan raya, termasuk pemandu, penunggang motosikal dan basikal serta pejalan kaki, bagi mengurangkan risiko kemalangan. Pendekatan ini turut menekankan kepentingan memupuk budaya bertolak ansur, berhemah dan hormat-menghormati antara satu sama lain di jalan raya, sebagai asas kepada persekitaran lalu lintas yang lebih selamat, teratur dan harmoni.

Keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak. Sehubungan itu, orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi papan tanda dan isyarat lalu lintas serta mengelakkan sebarang gangguan semasa memandu, termasuk penggunaan telefon bimbit. Sikap berwaspada, berhati-hati dan bertimbang rasa adalah kunci utama dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya di Negara Brunei Darussalam.

 

-TAMAT-

 

​Disediakan oleh:

Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR)

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi,

Negara Brunei Darussalam


Attachments